Wednesday 1 May 2013

# 21 Simpulan Bahasa


Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal perkataan-perkataan tersebut. Contohnya;

i) hari jadi-ulang tahun tarikh lahir
ii) langkah kanan-nasib baik
iii) makan masa- memerlukan banyak waktu

Pepatah
Pepatah ialah ungkapan-ungkapan yang berasal-usul daripada pusaka adat resam. Makna ungkapan-ungkapan itu tidak berubah-ubah. Pepatah berfungsi sebagai pedoman hidup anggota masyarakat yang mengamalkan sesuatu adat resam. Pepatah memiliki ciri-ciri puisi tradisional Melayu. Contohnya;

i) Nak kaya berdikit-dikit, nak ramai bertabur urai
    jimat cermat ialah tangga kejayaan, murah hati ialah tangga tuah.
ii) Pada sangka pohon beringin, kiranya tersandar di punggur lapuk
    menyangka dapat berkahwin dengan orang kaya, rupa-rupanya miskin.
iii) Patah lidah alamat kalah, patah keris alamat mati
     Apabila alat-alat kerja sudah rosak atau hilang, maka kerja-kerja akan tergendala.

Bidalan
Bidalan ialah pepatah atau peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat. Contohnya;

i) Jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahitnya.
   Kerja yang sudah dimulakan hendaklah diselesaikan
ii) Jangan bijak terpijak, biar bodoh bersuluh
    Jangan berasa diri bijak tetapi dihina orang, biar bodoh asal suka bertanya, pasti akan  
    berjaya.
iii) sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna
     Berfikir dengan teliti sebelum mengambil sebarang tindakan

Perumpamaan
Perumpamaan ialah perbandingan makna yang sangat jelas kerana ia didahului oleh perkataan seolah-olah, ibarat, bak, seperti, laksana, macam, bagai dan umpama. Contohnya;

i) umpama membungkus api
   menyimpan rahsia lambat laun akan diketahui juga oleh orang.
ii) Laksana golok kayu, ditetak tak makan, dijual tak laku
    sesuatu yang tidak mendatangkan sebarang faedah
iii) Bagai burung dalam sangkar, mata terlepas badan terkurung
     hidup yang tidak bebas kerana terkongkong oleh adat, peraturan dan kuasa

# 20 Perancangan Bahasa


Pada entri kali ini ssaya ingin mengupas tentang perancangan bahasa dalam membentuk sesuatu bahasa itu menjadi kukuh dan dapat diterimapakai dalam komuniti masyarakat dalam sesebuah negara.

Perancangan merujuk kepada usaha-usaha yang disengajakan untuk mempengaruhi tingkah laku orang lain dari segi pemerolehan bahasa, struktur bahasa atau peruntukan fungsi bahasa. Biasanya ia akan membabitkan perkembangan matlamat, objektif dan strategi untuk mengubah cara bahasa digunakan. Pada peringkat kerajaan, perancangan bahasa mengambil bentuk dasar bahasa. Banyak negara yang mempunyai badan kawal atur bahasa yang ditugaskan secara khusus untuk merumuskan dan melaksanakan dasar-dasar perancangan bahasa. Contohnya seperti Malaysia yang mempunyai Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertindak dalam hal-hal perancangan bahasa ini.
            
           Istilah perancangan bahasa sering dikaitkan dengan konteks dunia ketiga dan dilihat sebagai suatu alat untuk mengasaskan bahasa kebangsaan yang merupakan sebahagian daripada proses pemodenan dan pembangunan negara.
            
            Perancangan bahasa boleh dibahagikan kepada tiga bahagian :
i.                    Perancangan korpus – Campur tangan dalam bentuk-bentuk sebuah bahasa. Misalnya mencipta   
            kata-kata atau ungkapan-ungkapan baru.
ii.           Perancangan status – Usaha-usaha untuk memperuntukkan fungsi-fungsi bahasa dan mengenal huruf di dalam sebuah komuniti pertuturan. Ia akan menghasilkan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan sebagainya.
iii.                Perancangan pemerolehan – Berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa tidak kira sama ada bahasa kebangsaan, bahasa kedua atau bahasa asing.

Saturday 13 April 2013

# 19 Janganlah sombong

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada entri kali ini saya ingin mengetengahkan pendapat saya terhadap isu senyuman. Kenapa saya memilih isu tersebut? Hal ini berlaku kepada diri saya sendiri dimana rasa ketidakpuasan hati terhadap segelintir pelajar di salah sebuah institusi pedidikan di mana adik saya menuntut di sana.

    Bagi saya sendiri, saya telah diajar sejak dari kecil oleh kedua ibu bapa supaya menghormati semua kalangan masyarakat. Jika tidak bertegur sapa sekalipun, cukup dengan memberi senyuman kepada mereka. Secara tidak langsung ia akan mengambarkan kita seorang yang tidak sombong secara amnya dan berbudi bahasa khasnya.

    Berbalik kepada cerita sebentar tadi, ketika saya menghantar adik saya pulang ke sana selepas menikmati cuti semester, saya telah terserempak dengan sekumpulan pelajar ini dan secara langsung saya memberikan senyuman kepada mereka. Tanpa rasa hormat, mereka langsung tidak menunjukkan apa-apa reaksi dan terus berlalu dengan muka yang sombong. 

    Rasa di dalam hati memang ingin menegur mereka tetapi adab orang Melayu yang baik hati ini menyebabkan hati saya berkata, "Biarlah, mereka masih mentah lagi. Mungkin mereka tidak dipupuk dengan ilmu hormat-menghormati sesama masyarakat oleh kedua orang tua mereka".

     Kesimpulannya di sini ialah kita janganlah sombong terhadap orang lain. Cukuplah dengan sekadar memberi senyuman jika kita tidak mahu bertegur sapa pun dengan sesiapa sahaja. Tidak rugi jika kita mesra dengan masyarakat kerana nilai adab sopan yang masyarakat kita junjung dan bukannya dengan pangkat atau wang ringgit semata-mata.
                                             
Fahami lirik dan amalkan bersama-sama

# 18 Bahasa rojak


Hampir empat tahun saya menuntut ilmu di bumi Tanjung Malim ini. Kali ini saya ingin mengetengahkan tentang isu bahasa iaitu nama yang diberikan bagi sesebuah kawasan iaitu seperti "Proton City". Jika kita perhatikan di sini, perkataan "Proton" merupakan ungkapan bahasa Melayu manakala perkataan "City" merupakan perkataan yang terdapat dalam bahasa Inggeris.

       Jadi, nyata di sini pencemaran bahasa telah berlaku iaitu timbulnya bahasa rojak. Mengapa harus "Proton City" dan kenapa tidak "Bandar Proton".

      Antara salah satu faktornya disini ialah sikap masyarakat kita sendiri yang hanya mementingkan kesedapan dalam penggunaan sesuatu perkataan dan tidak mementingkan kesahihan dalam memilih sesuatu perkataan.

Wednesday 10 April 2013

# 17 Perbezaan sebutan sesuatu benda


Sesuatu benda, perbuatan atau sifat adakalanya diberi nama yang berbeza dalam sesetengah dialek Melayu. Misalnya:

tembikai
-          
             - Tembikai (bahasa baku)
-          - Temikai (dialek Kedah)
-          - Timun Cina (dialek Kelantan, Terengganu)
-          - Semangka (dialek Melayu Sabah)

ciku
-         
      -Ciku (bahasa baku)
-          - Sawa (dialek Kedah)
-          -  Sawanila (dialek Kelantan, Terengganu)

cili
-         
      -Cili (bahasa baku)
-          - Cabai (dialek Kedah, Perak)
-          - Lada (dialek Kelantan, Terengganu, Johor)

cengkadak-cengkadu
-         
      -Cengkadak-cengkadu (bahasa baku)
-          - Mentadak-mentadu (dialek Pahang)
-          - Ketenun (dialek  Kedah)
-          - Sudusenu (dialek Kelantan, Terengganu)

# 16 Kata ganti diri dalam dialek Melayu


Di sini saya ingin menyenaraikan tentang kata ganti diri yang digunakan oleh masyarakat di sekitar negeri Johor, Selangor, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.


Saturday 30 March 2013

# 15 Bahasa Merajuk?


Merajuk membawa maksud kecil hati atau terasa hati dengan kata-kata dan perlakuan seseorang. Natijahnya, seseorang yang merajuk itu akan menyepi dan menyendiri agar tidak diganggu oleh orang lain. Apabila seseorang itu merajuk, banyak bahasa yang akan digunakan. Antaranya ialah tak apalah, siapalah saya, untunglah, macam ni awak buat pada saya dan sebagainya.

          Cara untuk memahami seseorang itu menggunakan bahasa merajuk ini amatlah mudah iaitu kita boleh mengenalpasti melalui tingkah laku dan ucapan mereka dengan mengeluarkan nada yang kecewa.

# 14 Bahasa Pidgin


Pidgin juga dikenali sebagai bahasa pasar. Bahasa pasar ialah bahasa Melayu yang dituturkan oleh orang bukan Melayu di mana mereka tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik seperti orang Melayu bertutur. Bahasa pasar merupakan bahasa yang ditutur secara bercampur aduk antara bahasa ibunda dengan bahasa kedua.
                
            Bahasa pidgin ini tidak mempunyai system tatabahasa yang tertentu. Misalnya bahasa ini tidak gramatis sifatnya jika dibandingkan dengan bahasa Melayu baku. Penutur bahasa pasar menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dengan dicampur aduk dengan bahasa asing. Jika penutur itu berbangsa Cina, maka kata-kata daripada bahasa Cina dicampuradukkan dengan bahasa Melayu baku.
                
            Selain itu, jika kita melihat dari segi aspek intonasi atau lagu bahasa juga, didapati ada sedikit nada daripada pengaruh intonasi bahasa asing seperti bahasa Cina, Tamil, Benggali, bahasa Inggeris dan sebagainya.

Contoh penggunaan bahasa pidgin:
a. You free tak malam ni? Datanglah at my house and kita boleh study sama-sama.
b. Lu mau beli ikan ke? Ini ikan cukup lemak. Wa cakap beto, wa tak tipu lu la, mulah pun mulah.
c. Saya punya anak ada hari-hari dia surat khabar baca, hari-hari dia sekolah pergi naik itu api   
    kereta.
  

Wednesday 27 March 2013

# 13 Belajar Dialek Kedah

Apa itu dialek?
      

Menurut pemahaman saya, dialek merupakan salah satu bahasa yang digunakan oleh penutur dalam sesebuah daerah. Antaranya seperti dialek Kedah, dialek Kelantan, dialek Negeri Sembilan dan sebagainya.

     Untuk penulisan blog pada kali ini, saya lebih berminat untuk berkongsi dengan anda semua tentang dialek Kedah. Saya antara penutur asli dialek Kedah yang menetap di daerah Yan.

     Di daerah Yan, setiap ungkapan atau perkataan yang disebut banyak diakhiri huruf konsonan pada sesuatu perkataan.

      Contohnya :
      1) [awak]     -  [hang]
      2) [mujur]    - [mujoq]
      3) [mudah]  - [senang]

     
Seterusnya, hujung perkataan yang diakhiri dengan konsonan "s" berubah menjadi geluncuran vokal "i" dan konsonan "h" dalam aspek sebutan.

     Contohnya :
     1) [beras]    -[beraih]
     2) [habis]     -[habih]
     3) [biras]     -[biraih]

    Penggunaan kata ganti nama diri

     Kata ganti nama diri pertama :  [saya], [aku]    - membawa maksud "saya" atau "aku"
     Kata ganti nama diri kedua :           [hang]        - membawa maksud "kamu" atau "awak"

Tuesday 26 March 2013

# 12 Situasi dalam berkomunikasi


     Ketika kita berkomunikasi secara dua hala dan seterusnya, perkara yang perlu kita ambil kira ialah tentang sesuatu situasi. Maksudnya di sini, kita perlulah bijak dalam berkomunikasi dalam seseuatu keadaan.


     Contohnya ketika berada dalam sesi mesyuarat. Cara kita berkomunikasi perlulah sopan dan menggunakan bahasa yang formal.

     Sebaliknya, ketika kita berkomunikasi dengan rakan di kedai makan. Cara komunikasi kita dengan orang lain adalah secara spontan. Aspek bahasa yang amat mementingkan kesopanan tidak akan diambil kira dalam situasi ini.

     Seandainya kita salah mengaplikasikan komunikasi kita dalam satu-satu keadaan, berkemungkinan masalah bakal berlaku.

     Jadi, dapat dikatakan bahawa komunikasi tidak boleh dilakukan secara lewa tetapi perlu mengambil kira aspek tertentu.

Saturday 23 March 2013

# 11 Kenduri Kahwin

     Hari ini saya telah menghadiri sebuah kenduri rakan di Ipoh. Sesampainya di sana, saya dan rakan yang lain terus menjamu selera yang telah disediakan pihak tuan rumah.

     Apa yang menghairankan saya ialah tentatif kenduri di sebelah Ipoh amat berbeza di tempat saya sendiri iaitu di negeri Kedah. Maksud saya disini ialah berkaitan dengan tempoh masa jamuan makanan berlangsung.

    Di Kedah, kebiasaannya tempoh jamuan bermula pada jam 10.00 pagi sehingga 6.00 petang. Tetapi, di Ipoh khususnya, tempoh masa jamuan bermula dari jam 10.00 pagi sehingga jam 4.00 petang sahaja.

    Jadi, benarlah kata pepatah lain tempat lain ragamnya. Nampaknya timbul perbezaan disini iaitu mengenai tempoh masa berlangsungnya jamuan makan kenduri kahwin.

Friday 22 March 2013

# 10 Selalu??

Persoalan: Apa pandangan anda tentang perkartaan "selalu"?


Sedang duduk bersendirian, terfikir sejenak tentang pengalaman lalu bersama rakan-rakan ketika berbual di rumah. Ketika itu, kami sedang bersiap untuk pergi bersarapan. Dalam kehidupan ini, ketika kita sedang menunggu seseorang sudah pasti ada berlakunya perbualan sesama sendiri. Aku masih ingat tentang perbualan tersebut iaitu perbualan diantara rakan aku ini.

Kodri   : Faizal, lama lagi kah?
Faizal  : Sabar lah dulu. Aku tengah bersiap ni..
Kodri   : Lama lagi ke?.
Faizal  : Sekejap la..
Kodri   : cepat sikit, budak ni ajak pergi makan.
Faizal  : Bila?
Kodri   : Selalu la..
Faizal  : Selalu?
      
     Perbualan di antara kedua rakanku ini telah menimbulkan keraguan di dalam diri Faizal ketika Kodri mengeluarkan perkataan "selalu". Di tempat anda, adakah perkataan "selalu" ini mempunyai banyak makna?

     Kodri yang berasal dari Pekan, Pahang. Kebiasaannya Kodri memang menggunakan perkataan "selalu" ini untuk membawa maksud;
  1. sekarang
  2. sentiasa
     Berdasarkan daripada perbualan Kodri bersama Faizal ini, Kodri menggunakan perkataan "selalu" untuk menunjukkan maksud sekarang. Faizal berasal dari negeri Selangor. Aku yakin bahawa di tempat beliau perkataan "selalu" ini hanya digunakan oleh beliau dan juga pemastautin negeri Selangor untuk membawa satu makna sahaja iaitu sentiasa. Disebabkan inilah kekeliruan antara Kodri dengan Faizal ini terbantut akibat kekeliruan yang timbul. Aku yakin masih banyak lagi perkataan "selalu" ini digunakan oleh pemastautin lain bagi merujuk makna yang lebih daripada satu makna.
    
       Melalui situasi yang berlaku ini dapat diperkatakan bahawa komunikasi antara pemastautin yang berlainan negeri memerlukan kita agar lebih berhati-hati dalam penggunaan bahasa. Kita sepatutnya mengambil tahu tentang sesuatu perkataan itu dan perlu menguasainya agar kefahaman maksud sesama kita terhasil.

# 9 Kata Ganti Nama Diri Pertama

Hari ini saya berminat untuk menulis tentang penggunaan kata ganti nama diri pertama dan kedua iaitu "saya" dan "awak". Kedua-dua kata ganti nama diri ini digunakan dalam situasi formal contohnya ketika bertemu dengan orang yang baru dikenali.

    

     Pahang: Koi, Aok
     Kelantan: Kawe, Demo
     Terengganu: Aku, Mu
     Kedah: Aku, Hang


  Sebaliknya, dalam dialek yang ditunjukkan yang ditunjukkan seperti di atas iaitu dialek oleh negeri Pahang, Kelantan, Terengganu dan Kedah menunjukkan penggunaan perkataan kata ganti nama diri pertama dan kedua ini tampak bervariasi dan hanya dapat difahami maksudnya oleh penduduk di dalam negeri-negeri tersebut sahaja.

Sunday 17 March 2013

# 8 Kelmarin dan Semalam?

Setiap masyarakat mempunyai kelainan pendapat tentang sesuatu perkataan. Perkara inilah yang ingin saya tekankan dalam entri kali ini. Perkara yang menjadi persoalannya ialah berkaitan dengan perkataan "kelmarin" dan "semalam." Kedua-dua perkataan ini membawa konsep waktu dan masa. Ada sesetengah masyarakat berpendapat "kelmarin" merupakan hari selepas daripada hari ini tetapi ada yang berpendapat bahawa "semalam" merupakan dua hari selepas hari ini atau juga dimaksudkan hari selepas daripada hari ini. Ketidakfahaman ini ditonjolkan oleh masyarakat yang berlainan negeri.

        Misalnya ia berlaku pada diri saya sendiri baru-baru ini dimana saya bertanyakan satu soalan kepada salah seorang rakan saya iaitu orang Johor sewaktu dia sedang mengemas rumah. Contohnya:


Saya : Bila kamu ambil motorsikal kamu itu?

Zamani : Saya mengambilnya semalam. 

        Selepas itu saya memahami maksudnya dia mengambil motorsikalnya sehari selepas hari ini tetapi dia menyatakan dia mengambilnya dua hari yang lepas.

        Saya kebingungan seketika. Selepas itu barulah saya faham maksud yang hendak disampaikan oleh rakan saya itu. Jelas sekali kedua-dua perkataan ini memiliki maksudnya yang tersendiri dimana masyarakat sebelah utara menggunakan perkataan "kelmarin" iaitu merujuk kepada hari selepas hari ini dan masyarakat sebelah selatan menggunakan perkataan "semalam" untuk menyatakan hari selepas hari ini atau dua hari yang lepas.

# 7 Kesalahan Ejaan

Assalamualaikum dan selamat petang. Kali ini saya ingin membicarakan tentang kesalahan ejaan yang biasa kita dengar malah kita juga selalu melihat kesalahan ejaan ini di sesuatu tempat. 


  Gambar yang pertama ini memperlihatkan kesalahan ejaan yang ditunjukkan pada papan tanda sebuah premis perniagaan. Kesalahan ejaannya ialah "istirahat" dan ejaan yang tepat ialah "istirehat".


 Gambar kedua pula menunjukkan satu papan tanda yang berada di kawasan pembentungan. Kesalahan ejaan yang terdapat pada apan tanda ini ialah "Logi". Satu lagi kesalahan mudah yang dilakukan oleh masyarakat kita ini. Perkataan yang paling tepat ialah "Loji". 


  Seterusnya ialah ditunjukkan kesalahan ejaan yang terdapat pada papan tanda sebuah klinik. "Kelinik" merupakan ejaan lama bahasa Melayu dan tidak lagi digunapakai pada masa kini. Ejaan yang sebetulnya ialah dengan mengugurkan huruf E dan menjadi "Klinik".


  Gambar yang terakhir juga berkaitan dengan ejaan lama bahasa Melayu. "Bilek" merupakan ejaan lama bahasa Melayu yang tidak lagi digunapakai pada masa kini, perkataan yang sepatutnya digunakan ialah "Bilik". Satu lagi kesalahan yang terdapat pada papan tanda ini ialah kesalahan maksud. Ini ditunjukkan melalui perkataan "Bilik" itu sendiri yang bermaksud tempat tidur. Jadi maksud papan tanda ini sudah terpesong dari maksud sebenar yang hendak disampaikan. Perkataan yang tepat untuk menunjukkan satu ruang untuk kaum wanita ini berwuduk ialah "Kawasan wuduk perempuan".

  Kesimpulannya, masyarakat Malaysia masih kurang kesedaran untuk membetulkan tahap ejaan mereka. Jika berlarutan sehingga pada masa akan datang, saya pasti golongan muda akan turut melakukan kesalahan ejaan contohnya semasa mereka membina sebuah karangan. Ayat bahasa Melayu akan menjadi semakin tidak gramatis serta kesalahan kecil yang mereka lakukan ini akan turut mengakibatkan maksud yang hendak mereka sampaikan kepada seseorang tidak akan tercapai. 

Saturday 16 March 2013

# 6 Ayah, Abah, Papa

  Entri untuk minggu kedua ini pula saya ingin menceritakan tentang jasa ayah kepada kita yang berjaya mendidik sehingga menjadi insan yang berguna. Pada minggu lepas, saya terbaca satu sajak yang bertajuk "Mata Ayah" dan baru saya ingat bahawa sajak tersebut pernah saya pelajari semasa mempelajari subjek KOMSAS semasa sekolah menengah.

  Bait-bait rangkap tersebut amat menarik perhatian saya kerana jasa seorang ayah itu amat besar. Mereka bukan sahaja bertindak sebagai ketua keluarga tetapi mereka juga mempunyai sikap yang sukar untuk kita terjemahkan jika seseorang itu belum bersedia iaitu tanggungjawab. Berikut merupakan sajak lengkap "Mata Ayah" :

Kujabat mesra tangan ayah,
urat-urat daging-daging keras terasa,
mataku tersenyum matanya menyapa,
anak yang pulang disambut ramah.

Tapi matanya, mata yang menatapku,
kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi,
garis-garis putih lesu melingkungi hitam suram,
suatu kelesuan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih juga ramah,
akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri,
bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang,
memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah,
merasakan kepedihan yang tercermin di mata,
meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk,
dan ia tidak pernah merasa sebab derita itu adalah dia.


  Mesej yang saya ingin sampaikan disini ialah mengenai nilai seorang ayah. Nilai yang ditonjolkan melalui sajak ini amat berkait rapat dengan adab Melayu di mana ibu bapa mempunyai sikap yang penyayang, bertanggungjawab, kuat berusaha dan tidak pernah mengenal erti penat dan lelah.

  Jadi, kita mestilah berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita dan janganlah sesekali mengeluh jika ditegur membuat perkara yang salah.

Friday 15 March 2013

# 5 Bahasa slanga?

Pada kali ini saya ingin berkongsi pula dengan pembaca berkaitan dengan bahasa slanga.

Apa itu bahasa slanga?

      Berdasarkan daripada pengetahuan dan pemahaman saya, bahasa slanga ini merupakan bahasa yang sering digunapakai dalam kelompok golongan muda atau remaja. Bahasa slanga ini tidak sesuai digunakan dalam majlis formal atau ketika bercakap dengan orang yang lebih tua. Kebiasaannya, bahasa ini sering digunakan dalam kalangan golongan muda ketika berkomunikasi dalam kalangan mereka sendiri. Antara contoh perkataannya yang sering kita dengar ialah lu, gua, langsi, bikin dan sebagainya.

Apakah faktor yang mendorong penggunaan bahasa selanga secara berleluasa dalam kalangan golongan muda?

     Memandangkan saya salah seorang yang juga sering menggunakan bahasa ini, saya mendapati antara faktor utama yang mendorong kepada penggunaan bahasa slanga ini ialah faktor media. Ini dapat dilihat melalui penerbitan dan tayangan filem seperti KL Gangster, Adnan Sempit, Rempit, Bohsia dan sebagainya.







Perhatikan sedutan filem di atas. Penggunaan perkataan lu dan gua dalam filem ini sering kita dengar daripada mulut golongan muda pada masa ini.

       Oleh itu, marilah kita sama-sama menerapkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam pengucapan kerana penggunaan bahasa slanga inilah yang telah menyebabkan terjadinya pencemaran bahasa.

# 4 Mengenali dialek negeri Perak

  Entri kali ini saya berminat untuk menyentuh tentang dialek Perak khususnya di bahagian Perak tengah iaitu Bota. Ingin saya nyatakan disini bahawa ia amat menarik minat saya untuk berkongsi dengan pembaca mengenai loghat di daerah ini kerana pertuturan mereka amat pekat dengan dialek Perak ini.

  Tidak manis jika saya tidak mengaitkan dialek negeri ini untuk dikongsi kerana saya sekarang juga melanjutkan pengajian saya di negeri ini iaitu di UPSI, walaupun dialek di daerah selatan Perak ini lebih menjurus kepada dialek sebelah negeri Selangor dan Kuala Lumpur. 

  Di sini saya menyenaraikan beberapa perkataan yang saya peroleh iaitu perkataan (dialek) daerah Bota bersama maksudnya :


 • nyongket       – merayau
 • lengat            – loyang

 • meroloh        – tido

 • tak mandang – tak nampak
 • deghah         – cepat
 • tumpo           – mati
 • kulu kelo       – kehulur kehilir
 • hangat pijo   – panas terik
 • bachike         – makan
 • penyegan      – pemalas
 • segholoh       – jatuh ke bawah
 • tawor leysior – tawar (untuk mennyatakan rasa makanan)
 • toben             – tua
 • libang libu      - runsing



Sekian terima kasih.


Tuesday 12 March 2013

# 3 Terlupa "Password"

Cuak, resah, gelisah dan sebagainya. Apakah itu? Sebenarnya ia adalah perasaan saya yang sedang saya alami tatkala ingin memuatkan entri yang ketiga ini. Semasa saya hendak membuka blog saya ini, saya terlupa    sesuatu iaitu "password" yang saya miliki. Di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu bertapa gelabahnya saya rasa. Bukan apa, takut nanti saya kena bina semula blog ini. Bukankan buang masa namanya itu.

Berbalik kepada isi yang hendak saya sampaikan di sini iaitu berkaitan "password". Masyarakat hari ini khususnya masyarakat Melayu menurut pandangan saya amat lemah dalam pertuturan. Hal ini kerana mereka ini amat suka bertutur bahasa campur. Saya akui memang saya marah dengan mereka yang suka bercakap seperti itu. Contohnya "I nak pergi office tu kejap, awak tunggu dekat sini k".

Lebih molek jika mereka dapat bertutur dengan baik seperti ini "Saya mahu pergi ke pejabat sekejap, kamu tunggu dekat sini ya". Seperti saya juga yang sengaja membuat tajuk Terlupa "password" ini. Lebih elok jika kita dapat mengubahnya kepada "Terlupa kata kunci". Jika kita sebagai bangsa Melayu tidak memartabatkan bahasa kita sendiri, lama kelamaan ia akan lupus ditelan zaman.

Friday 8 March 2013

# 2 Mengenali perkataan Jawa

 Saya merupakan anak jati negeri  yang diberi jolokan "Jelapang Padi" iaitu negeri Kedah. Semasa kelas sosiolinguistik pada hari Jumaat saya telah mendapat ilmu baharu tentang perkataan yang tidak biasa saya dengar sebelum ini iaitu berkaitan dengan perkataan Jawa.

  Rakan saya iaitu saudara Nor Azizi Abdollah telah membentangkan tentang struktur masyarakat Jawa di hadapan rakan-rakan dan dia menyelit tentang perkataan Jawa ini. Pada pendapat saya, perkataan Jawa amat unik dan jika kita dengar sekali lalu kita akan merasakan bahawa maksud itu sangat jauh dengan maksud yang kita sangkakan.

  Azizi menyenaraikan beberapa perkataan Jawa dan saya hanya dapat mengingati dua perkataan iaitu:

a. Mandri beerti makan.
b. Kapala lutut beerti kapal terbang.

Lucu mendengarnya bukan? Tetapi itulah keunikan yang ditunjukkan oleh bahasa Jawa dan saya percaya bahasa dari negeri lain juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Tuesday 5 March 2013

# 1 Penat!

Assalamualaikum dan selamat petang. Entri ini sepatutnya saya masukkan pada malam semalam lagi tetapi akibat kelas saya agak padat, petang ini dengan izin-Nya dapat saya menulis sedikit coretan yang berlaku pada hari semalam. Pada kebiasaan iaitu hari Isnin saya memang berasa sedikit kerana kepenatan kerana waktu kuliah di sebelah petang. Maklumlah waktu petang kan biasanya waktu untuk saya berehat.

  Mula kuliah pertama pada pukul 1.00 petang. Saya berasa amat malas untuk pergi ke kuliah kerana kebiasaannya waktu itu merupakan waktu rehat. Akibat desakan rakan-rakan kuliah yang mahu kelas dilakukan tiga jam sekaligus, maka pensyarah tersebut bersetuju untuk memulakan kuliah tepat jam tersebut.

  Hati mulai gelisah, pelbagai perasaan timbul di dalam hati. "Ah! Malas aku nak pi kelas", "Pasai apa waktu kelas start pada pukul 1? Emm.." Akibat desakan hati yang kuat, saya mula berfikir positif dan terus bersemangat untuk pergi ke kuliah.

 Di sini saya ingin tekakan bahawa kesalahan bahasa yang saya ujarkan iaitu perkataan 'pi' sepatutnya 'pergi'dan perkataan 'start' sepatutnya 'bermula'. Ini hanya sedikit contoh yang saya tunjukkan dan realitinya ramai masyarakat kita kini bertutur dalam bahasa rojak yang boleh merosakkan mutu bahasa itu sendiri iaitu bahasa Melayu.

Friday 22 February 2013

Pengenalan

Assalamualaikum & Salam sejahtera. Ini merupakan blog kedua saya yang dibina atas sebab tugasan untuk subjek major yang saya pelajari di UPSI pada semester ini iaitu Sosiolinguistik Melayu di mana tenaga pengajarnya ialah Dr. Siti Saniah bt. Abu Bakar. Itu sahaja buat masa ini, entri lain saya akan muatkan selepas ini.