Sunday, 17 March 2013

# 7 Kesalahan Ejaan

Assalamualaikum dan selamat petang. Kali ini saya ingin membicarakan tentang kesalahan ejaan yang biasa kita dengar malah kita juga selalu melihat kesalahan ejaan ini di sesuatu tempat. 


  Gambar yang pertama ini memperlihatkan kesalahan ejaan yang ditunjukkan pada papan tanda sebuah premis perniagaan. Kesalahan ejaannya ialah "istirahat" dan ejaan yang tepat ialah "istirehat".


 Gambar kedua pula menunjukkan satu papan tanda yang berada di kawasan pembentungan. Kesalahan ejaan yang terdapat pada apan tanda ini ialah "Logi". Satu lagi kesalahan mudah yang dilakukan oleh masyarakat kita ini. Perkataan yang paling tepat ialah "Loji". 


  Seterusnya ialah ditunjukkan kesalahan ejaan yang terdapat pada papan tanda sebuah klinik. "Kelinik" merupakan ejaan lama bahasa Melayu dan tidak lagi digunapakai pada masa kini. Ejaan yang sebetulnya ialah dengan mengugurkan huruf E dan menjadi "Klinik".


  Gambar yang terakhir juga berkaitan dengan ejaan lama bahasa Melayu. "Bilek" merupakan ejaan lama bahasa Melayu yang tidak lagi digunapakai pada masa kini, perkataan yang sepatutnya digunakan ialah "Bilik". Satu lagi kesalahan yang terdapat pada papan tanda ini ialah kesalahan maksud. Ini ditunjukkan melalui perkataan "Bilik" itu sendiri yang bermaksud tempat tidur. Jadi maksud papan tanda ini sudah terpesong dari maksud sebenar yang hendak disampaikan. Perkataan yang tepat untuk menunjukkan satu ruang untuk kaum wanita ini berwuduk ialah "Kawasan wuduk perempuan".

  Kesimpulannya, masyarakat Malaysia masih kurang kesedaran untuk membetulkan tahap ejaan mereka. Jika berlarutan sehingga pada masa akan datang, saya pasti golongan muda akan turut melakukan kesalahan ejaan contohnya semasa mereka membina sebuah karangan. Ayat bahasa Melayu akan menjadi semakin tidak gramatis serta kesalahan kecil yang mereka lakukan ini akan turut mengakibatkan maksud yang hendak mereka sampaikan kepada seseorang tidak akan tercapai. 

Saturday, 16 March 2013

# 6 Ayah, Abah, Papa

  Entri untuk minggu kedua ini pula saya ingin menceritakan tentang jasa ayah kepada kita yang berjaya mendidik sehingga menjadi insan yang berguna. Pada minggu lepas, saya terbaca satu sajak yang bertajuk "Mata Ayah" dan baru saya ingat bahawa sajak tersebut pernah saya pelajari semasa mempelajari subjek KOMSAS semasa sekolah menengah.

  Bait-bait rangkap tersebut amat menarik perhatian saya kerana jasa seorang ayah itu amat besar. Mereka bukan sahaja bertindak sebagai ketua keluarga tetapi mereka juga mempunyai sikap yang sukar untuk kita terjemahkan jika seseorang itu belum bersedia iaitu tanggungjawab. Berikut merupakan sajak lengkap "Mata Ayah" :

Kujabat mesra tangan ayah,
urat-urat daging-daging keras terasa,
mataku tersenyum matanya menyapa,
anak yang pulang disambut ramah.

Tapi matanya, mata yang menatapku,
kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi,
garis-garis putih lesu melingkungi hitam suram,
suatu kelesuan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih juga ramah,
akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri,
bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang,
memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah,
merasakan kepedihan yang tercermin di mata,
meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk,
dan ia tidak pernah merasa sebab derita itu adalah dia.


  Mesej yang saya ingin sampaikan disini ialah mengenai nilai seorang ayah. Nilai yang ditonjolkan melalui sajak ini amat berkait rapat dengan adab Melayu di mana ibu bapa mempunyai sikap yang penyayang, bertanggungjawab, kuat berusaha dan tidak pernah mengenal erti penat dan lelah.

  Jadi, kita mestilah berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita dan janganlah sesekali mengeluh jika ditegur membuat perkara yang salah.

Friday, 15 March 2013

# 5 Bahasa slanga?

Pada kali ini saya ingin berkongsi pula dengan pembaca berkaitan dengan bahasa slanga.

Apa itu bahasa slanga?

      Berdasarkan daripada pengetahuan dan pemahaman saya, bahasa slanga ini merupakan bahasa yang sering digunapakai dalam kelompok golongan muda atau remaja. Bahasa slanga ini tidak sesuai digunakan dalam majlis formal atau ketika bercakap dengan orang yang lebih tua. Kebiasaannya, bahasa ini sering digunakan dalam kalangan golongan muda ketika berkomunikasi dalam kalangan mereka sendiri. Antara contoh perkataannya yang sering kita dengar ialah lu, gua, langsi, bikin dan sebagainya.

Apakah faktor yang mendorong penggunaan bahasa selanga secara berleluasa dalam kalangan golongan muda?

     Memandangkan saya salah seorang yang juga sering menggunakan bahasa ini, saya mendapati antara faktor utama yang mendorong kepada penggunaan bahasa slanga ini ialah faktor media. Ini dapat dilihat melalui penerbitan dan tayangan filem seperti KL Gangster, Adnan Sempit, Rempit, Bohsia dan sebagainya.







Perhatikan sedutan filem di atas. Penggunaan perkataan lu dan gua dalam filem ini sering kita dengar daripada mulut golongan muda pada masa ini.

       Oleh itu, marilah kita sama-sama menerapkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam pengucapan kerana penggunaan bahasa slanga inilah yang telah menyebabkan terjadinya pencemaran bahasa.

# 4 Mengenali dialek negeri Perak

  Entri kali ini saya berminat untuk menyentuh tentang dialek Perak khususnya di bahagian Perak tengah iaitu Bota. Ingin saya nyatakan disini bahawa ia amat menarik minat saya untuk berkongsi dengan pembaca mengenai loghat di daerah ini kerana pertuturan mereka amat pekat dengan dialek Perak ini.

  Tidak manis jika saya tidak mengaitkan dialek negeri ini untuk dikongsi kerana saya sekarang juga melanjutkan pengajian saya di negeri ini iaitu di UPSI, walaupun dialek di daerah selatan Perak ini lebih menjurus kepada dialek sebelah negeri Selangor dan Kuala Lumpur. 

  Di sini saya menyenaraikan beberapa perkataan yang saya peroleh iaitu perkataan (dialek) daerah Bota bersama maksudnya :


 • nyongket       – merayau
 • lengat            – loyang

 • meroloh        – tido

 • tak mandang – tak nampak
 • deghah         – cepat
 • tumpo           – mati
 • kulu kelo       – kehulur kehilir
 • hangat pijo   – panas terik
 • bachike         – makan
 • penyegan      – pemalas
 • segholoh       – jatuh ke bawah
 • tawor leysior – tawar (untuk mennyatakan rasa makanan)
 • toben             – tua
 • libang libu      - runsing



Sekian terima kasih.


Tuesday, 12 March 2013

# 3 Terlupa "Password"

Cuak, resah, gelisah dan sebagainya. Apakah itu? Sebenarnya ia adalah perasaan saya yang sedang saya alami tatkala ingin memuatkan entri yang ketiga ini. Semasa saya hendak membuka blog saya ini, saya terlupa    sesuatu iaitu "password" yang saya miliki. Di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu bertapa gelabahnya saya rasa. Bukan apa, takut nanti saya kena bina semula blog ini. Bukankan buang masa namanya itu.

Berbalik kepada isi yang hendak saya sampaikan di sini iaitu berkaitan "password". Masyarakat hari ini khususnya masyarakat Melayu menurut pandangan saya amat lemah dalam pertuturan. Hal ini kerana mereka ini amat suka bertutur bahasa campur. Saya akui memang saya marah dengan mereka yang suka bercakap seperti itu. Contohnya "I nak pergi office tu kejap, awak tunggu dekat sini k".

Lebih molek jika mereka dapat bertutur dengan baik seperti ini "Saya mahu pergi ke pejabat sekejap, kamu tunggu dekat sini ya". Seperti saya juga yang sengaja membuat tajuk Terlupa "password" ini. Lebih elok jika kita dapat mengubahnya kepada "Terlupa kata kunci". Jika kita sebagai bangsa Melayu tidak memartabatkan bahasa kita sendiri, lama kelamaan ia akan lupus ditelan zaman.

Friday, 8 March 2013

# 2 Mengenali perkataan Jawa

 Saya merupakan anak jati negeri  yang diberi jolokan "Jelapang Padi" iaitu negeri Kedah. Semasa kelas sosiolinguistik pada hari Jumaat saya telah mendapat ilmu baharu tentang perkataan yang tidak biasa saya dengar sebelum ini iaitu berkaitan dengan perkataan Jawa.

  Rakan saya iaitu saudara Nor Azizi Abdollah telah membentangkan tentang struktur masyarakat Jawa di hadapan rakan-rakan dan dia menyelit tentang perkataan Jawa ini. Pada pendapat saya, perkataan Jawa amat unik dan jika kita dengar sekali lalu kita akan merasakan bahawa maksud itu sangat jauh dengan maksud yang kita sangkakan.

  Azizi menyenaraikan beberapa perkataan Jawa dan saya hanya dapat mengingati dua perkataan iaitu:

a. Mandri beerti makan.
b. Kapala lutut beerti kapal terbang.

Lucu mendengarnya bukan? Tetapi itulah keunikan yang ditunjukkan oleh bahasa Jawa dan saya percaya bahasa dari negeri lain juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Tuesday, 5 March 2013

# 1 Penat!

Assalamualaikum dan selamat petang. Entri ini sepatutnya saya masukkan pada malam semalam lagi tetapi akibat kelas saya agak padat, petang ini dengan izin-Nya dapat saya menulis sedikit coretan yang berlaku pada hari semalam. Pada kebiasaan iaitu hari Isnin saya memang berasa sedikit kerana kepenatan kerana waktu kuliah di sebelah petang. Maklumlah waktu petang kan biasanya waktu untuk saya berehat.

  Mula kuliah pertama pada pukul 1.00 petang. Saya berasa amat malas untuk pergi ke kuliah kerana kebiasaannya waktu itu merupakan waktu rehat. Akibat desakan rakan-rakan kuliah yang mahu kelas dilakukan tiga jam sekaligus, maka pensyarah tersebut bersetuju untuk memulakan kuliah tepat jam tersebut.

  Hati mulai gelisah, pelbagai perasaan timbul di dalam hati. "Ah! Malas aku nak pi kelas", "Pasai apa waktu kelas start pada pukul 1? Emm.." Akibat desakan hati yang kuat, saya mula berfikir positif dan terus bersemangat untuk pergi ke kuliah.

 Di sini saya ingin tekakan bahawa kesalahan bahasa yang saya ujarkan iaitu perkataan 'pi' sepatutnya 'pergi'dan perkataan 'start' sepatutnya 'bermula'. Ini hanya sedikit contoh yang saya tunjukkan dan realitinya ramai masyarakat kita kini bertutur dalam bahasa rojak yang boleh merosakkan mutu bahasa itu sendiri iaitu bahasa Melayu.