Entri untuk minggu kedua ini pula saya ingin menceritakan tentang jasa ayah kepada kita yang berjaya mendidik sehingga menjadi insan yang berguna. Pada minggu lepas, saya terbaca satu sajak yang bertajuk "Mata Ayah" dan baru saya ingat bahawa sajak tersebut pernah saya pelajari semasa mempelajari subjek KOMSAS semasa sekolah menengah.
Bait-bait rangkap tersebut amat menarik perhatian saya kerana jasa seorang ayah itu amat besar. Mereka bukan sahaja bertindak sebagai ketua keluarga tetapi mereka juga mempunyai sikap yang sukar untuk kita terjemahkan jika seseorang itu belum bersedia iaitu tanggungjawab. Berikut merupakan sajak lengkap "Mata Ayah" :
Kujabat mesra tangan ayah,
urat-urat daging-daging keras terasa,
mataku tersenyum matanya menyapa,
anak yang pulang disambut ramah.
Tapi matanya, mata yang menatapku,
kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi,
garis-garis putih lesu melingkungi hitam suram,
suatu kelesuan yang tak pernah dipancarkan dulu.
Kelibat senyum matanya masih juga ramah,
akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri,
bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang,
memintaku pulang menikmati beras baru.
Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah,
merasakan kepedihan yang tercermin di mata,
meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk,
dan ia tidak pernah merasa sebab derita itu adalah dia.
Mesej yang saya ingin sampaikan disini ialah mengenai nilai seorang ayah. Nilai yang ditonjolkan melalui sajak ini amat berkait rapat dengan adab Melayu di mana ibu bapa mempunyai sikap yang penyayang, bertanggungjawab, kuat berusaha dan tidak pernah mengenal erti penat dan lelah.
Jadi, kita mestilah berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita dan janganlah sesekali mengeluh jika ditegur membuat perkara yang salah.